UPM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG AIR TAWAR BANTING | University Community Transformation Centre (UCTC)
» ENGAGE360 » UPM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG AIR TAWAR BANTING

UPM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG AIR TAWAR BANTING

UPM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG AIR TAWAR BANTING MELALUI INOVASI SISTEM TERNAKAN AYAM KAMPUNG

Program ini dianjurkan hasil kerjasama dengan Pertubuhan Komuniti Kampung Air Tawar (PAKAT) dan mendapat penyertaan seramai 25 orang peserta terdiri daripada komuniti setempat, khususnya golongan B40 yang terlibat dalam projek penternakan ayam kampung secara kelompok.

Program ini dianjurkan dengan objektif utama untuk memperkasa komuniti dalam bidang penternakan ayam kampung secara moden dan berdaya saing. Antara fokus utama yang diketengahkan ialah:

  1. Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komunitimelalui latihan berstruktur agar mereka menguasai amalan penternakan moden yang lebih efisien dan berdaya maju.
  2. Mengaplikasikan pengurusan ternakan yang holistikdengan mengintegrasikan elemen inovasi serta teknologi bagi menjamin kualiti dan kelestarian hasil ternakan.
  3. Melahirkan penternak yang berdaya saingserta berpotensi mengembangkan operasi penternakan ke skala yang lebih besar, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Melalui tinjauan awal yang dijalankan, ketua projek mendapati bahawa terdapat potensi untuk menyokong pengurusan ternakan ayam kampung yang boleh ditambah baik untuk membantu komuniti meningkatkan hasil secara optimum.

Bagi menangani cabaran tersebut, UCTC UPM mencadangkan pengenalan sistem penternakan berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) yang membolehkan automasi dalam kawalan suhu, pengudaraan dan pencahayaan reban. Teknologi ini digabungkan dengan penggunaan tenaga solar bagi mengurangkan kos tenaga elektrik dan meningkatkan kecekapan operasi, selari dengan konsep ekonomi kitaran serta amalan lestari. Gabungan tenaga solar dan IoT bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu penternak memantau keadaan reban secara masa nyata, menjadikan pengurusan lebih sistematik, kos efektif, dan mampan.

Usaha ini turut disokong oleh pakar merentasi pelbagai pusat tanggungjawab seperti Fakulti Pertanian, Fakulti Perubatan Veterinar dan Fakulti Kejuruteraan. UPM juga telah mengadakan 2 siri pemindahan ilmu di lapangan. Antara fokus pemindahan ilmu yang telah dikongsikan kepada komuniti adalah seperti keperluan infrastruktur dan ladang ternakan ayam kampung dan pengenalan kepada aplikasi solar.

Siri kedua pula memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, pemakanan, serta keselamatan dalam operasi ternakan ayam kampung. Antara topik yang dibincangkan termasuk pengurusan kesihatan ternakan dan kawalan Penyakit, pengurusan pemakanan ternakan dan panduan asas keselamatan elektrik dalam penternakan.

“Dengan adanya program ini, komuniti bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan tambahan, malah dapat menguasai ilmu serta teknologi baharu yang akan memperkukuh daya saing mereka dalam bidang penternakan ayam kampung,” ujar wakil UCTC UPM.

UPM optimis bahawa projek ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi komuniti luar bandar melalui pendekatan pertanian pintar, inovatif dan lestari.

Updated:: 26/09/2025 [khairulazman]

MEDIA SHARING

W, (01:45:17am-01:50:17am, 27 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]