AgroFusion | University Community Transformation Centre (UCTC)
» ENGAGE360 » AgroFusion

AgroFusion

AgroFusion: Projek Pemerkasaan Isi Rumah Berpendapatan Rendah Terhadap Pertanian Lestari Dengan Memperkenalkan Sistem Kombinasi Akuaponik Bersepadu dan Fertigasi Meja Bertenaga Solar

Projek Pertanian Lestari dengan Memperkenalkan Sistem Kombinasi Akuaponik Bersepadu dan Fertigasi Meja Bertenaga Solar (AgroFusion) ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah melalui penerapan teknologi pertanian lestari yang berfokus pada pengurangan kos dan peningkatan hasil pertanian. Salah satu cabaran utama dalam sektor pertanian di negara ini adalah kekurangan akses kepada teknologi moden dan sumber daya yang mampan. Oleh itu, pengenalan sistem akuaponik bersepadu dan fertigasi meja bertenaga solar diharapkan dapat memberikan penyelesaian yang inovatif dan berkelanjutan, terutamanya di kalangan komuniti berpendapatan rendah.

Bermula dari Julai 2025 sehingga Oktober 2025 Seramai 40 peserta tertumpu di Sri Medan, Yong Peng Johor telah menerima manfaat dan lima (5) set kit pertanian dari pelaksanaan projek yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni dari Fakulti Kejuruteraan UPM. Projek ini juga melibatkan seramai 6 orang pakar yang terdiri daripada staf pelaksana dan staf akademik UPM mengikut bidang masing-masing. Sebanyak 3 modul yang telah dilaksanakan melalui pemindahan ilmu secara teori dan praktikal. Peserta berpeluang untuk merasai pengalaman dan memperoleh ilmu dengan kaedah yang betul dalam amalan pertanian, perikanan dan pemasangan sistem solar dalam pertanian. Pemilihan peserta dan pelaksanaan projek ini adalah untuk memperkasa isi rumah berpendapatan rendah dengan meningkatkan hasil dan pendapatan. Ianya juga bagi mengurangkan kos pertanian melalui penggunaan tenaga solar dan meningkatkan ketahanan makanan dengan memperkenalkan sistem pertanian yang efisien serta bebas racun.

Sumber dana sebanyak RM50,000.00 dari geran UniMADANI menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek ini dimana elemen pemindahan ilmu memainkan peranan penting dalam menyebarkan amalan dan teknologi inovatif kepada komuniti luar bandar. Dengan peluang yang diberi, mereka berjaya memperoleh hasil purata sebanyak 22 kg hasil sayur-sayuran seperti bayam, kangkung dan sawi yang memperoleh sumber nutrient dari ternakan ikan tilapia. Terdapat juga isu yang berlaku antaranya kerosakan alat elektonik solar, kegagalan oksigen berfungsi, kematian ikan tilapia dan kecurian ikan dalam tangki. Segala permasalahan ini dapat diatasi dengan sewajarnya.

Projek AgroFusion dengan penekanan pada penggunaan teknologi solar, IoT dan pemindahan ilmu pengurusan pertanian berpotensi besar untuk memperbaiki kehidupan komuniti Sri Medan dengan melengkapi mereka dengan pengetahuan dan alat yang diperlukan untuk meningkatkan amalan penternakan mereka. Dengan menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti pertanian skala kecil dan mempromosikan penerimaan teknologi inovatif, program ini dapat menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian yang lebih berdaya saing dan lestari di Malaysia. Pemantauan dan penilaian lanjut mengenai impak program ini adalah penting untuk memahami keberkesanannya dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan.

Updated:: 26/09/2025 [khairulazman]

MEDIA SHARING

F, (08:50:35pm-08:55:35pm, 11 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]