» ENGAGE360 » PROGRAM AGROPRENEUR MUDA iTEKAD AMBANK-SBE UPM
PROGRAM AGROPRENEUR MUDA iTEKAD AMBANK-SBE UPM
PROGRAM PENGEMBANGAN PERTANIAN FERTIGASI MUKIM ULU LEPAR, PAHANG DI BAWAH PROGRAM AGROPRENEUR MUDA iTEKAD AMBANK-SBE UPM
Program Pengembangan Pertanian Fertigasi Mukim Ulu Lepar, Pahang merupakan satu program di bawah Program Agropreneur Muda iTEKAD AMBANK-SBE UPM yang bermula pada April 2025 hingga April 2026. Program ini merupakan kerjasama antara UCTC dan SBE serta beberapa PTJ lain di UPM. Pejabat Penghulu Mukim Ulu Lepar pula bertindak sebagai rakan kerjasama strategik di peringkat komuniti dan turut membantu untuk memantau program ini yang melibatkan seramai 10 orang peserta asnaf dari Kg Paya Rambutan, Ulu Lepar.
Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pertanian dalam kalangan peserta serta meningkatkan pendapatan tambahan dalam kalangan peserta menerusi projek fertigasi.
Isu dan masalah utama komuniti ini pada awalnya adalah kurangnya ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan penanaman terung secara fertigasi. Pengalaman mereka pada musim pertama penanaman hanya bertahan sebulan sahaja dan hasil yang kurang memberangsangkan disebabkan oleh serangan perosak dan penyakit yang tidak terkawal. Tiada penggunaan teknologi pertanian yang digunakan disebabkan tiada ilmu, kekangan sumber bekalan elektrik dan tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya. Justeru itu, UCTC UPM telah memainkan peranan yang penting di dalam projek ini terutamanya berkaitan pemindahan ilmu dan teknologi pertanian dan dibantu oleh AmBank sebagai penyedia dana.
Peserta di kawasan Ulu Lepar yang terpilih mengikuti program ini mendapat tajaan daripada AmBank sepenuhnya dengan jumlah RM 164,270 meliputi kos peralatan, elaun komitmen dan latihan dengan bimbingan UPM. Peserta diwajibkan untuk mengikuti program pemindahan ilmu berkaitan asas semaian dan penanaman secara fertigasi, kaedah pembajaan, penghasilan baja organik, bimbingan kepimpinan keusahawanan, kawalan penyakit dan serangga perosak, pengurusan pasca tuai, pengurusan rekod dan lain-lain. Peserta turut belajar cara membuat baja organik seperti mol kangkung, mol batang pisang, mol pisang, mol ikan bagi tujuan penjimatan kos baja. Program pemindahan ilmu ini turut melibatkan pegawai UPM daripada Fakulti Pertanian, Fakulti Ekologi Manusia, Pusat Pertanian Putra, dan Sekolah Perniagaan Ekonomi. Program ini menekankan kaedah pembelajaran 30% secara teori dan 70% secara amali dan praktikal di ladang. Teknologi kawalan serangga perosak menggunakan Mr Molec hasil penyelidikan UPM, kawalan serangga perosak menggunakan solar dan kaedan pembajaan dan pengairan secara IoT telah diperkenalkan oleh UPM kepada peserta.
Sehingga September 2025, sebanyak 5000 polibeg pelbagai tanaman telah diusahakan di kawasan Kampung Paya Rambutan, 4 siri pemindahan ilmu telah dilaksanakan dan lebih 300kg hasil tanaman seperti terung, kacang panjang, timun, serai telah mula memberikan hasil dan pendapatan kepada peserta dan dipasarkan di kawasan Ulu Lepar, Gambang, Temerloh dan Kuantan.
University Community Transformation Centre (UCTC UPM), Industry and Community Relations Building, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
uctc_all@upm.edu.my
EMERGENCY LINE (24 HOURS) AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER