HASIL PEMINDAHAN ILMU DI PULAU PANGKOR PERKUKUH AMALAN PERTANIAN & PENGURUSAN SISA SECARA LESTARI
Baja Kompos Bersama Komuniti Pulau Pangkor
Usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar di Pulau Pangkor terus diperkasakan melalui pelaksanaan Projek KTP Baja Kompos Bersama Komuniti, inisiatif Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program KPT Outreach. Projek ini dikendalikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan objektif meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pengurusan sisa organik yang lebih berkesan dan lestari.
Program ini dfilaksanakan untuk mendidik komuniti tentang pengurusan sisa yang mampan dan berkesan selain berusaha untuk meminimumkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah sekali gus mengurangkan kesan karbon.
Sebagai sebahagian daripada projek, UPM telah menyumbangkan 10 buah drum kompos berputar (rotating composting drum) kepada komuniti Pulau Pangkor. Dengan setiap drum berupaya menghasilkan kira-kira 80–100 kg kompos dalam tempoh 2–3 bulan, komuniti bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan melalui penjualan kompos, malah dapat mengurangkan kos input pertanian dengan menggunakan baja kompos untuk tanaman mereka sendiri.
Pemantauan projek dijalankan secara berkala melalui lawatan pakar dan pegawai UPM. Mereka turut menyediakan khidmat nasihat serta cadangan penambahbaikan bagi memastikan penghasilan kompos menepati standard dan berdaya saing.
Selain projek baja kompos, UCTC UPM dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Pulau Pangkor turut menganjurkan Bengkel DIY Pembuatan Sabun Serbaguna dan Lilin Wangi daripada Minyak Masak Terpakai.
Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kaedah kreatif mengitar semula minyak masak terpakai, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar. Melalui sesi praktikal, peserta diajar menghasilkan sabun serbaguna dan lilin wangi yang boleh digunakan untuk kegunaan harian serta berpotensi dijadikan sumber pendapatan tambahan.
Lebih menarik, bengkel ini juga menekankan aspek inovasi apabila peserta digalakkan mencipta produk dengan pelbagai bentuk, warna, dan aroma. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti, tetapi turut membuka peluang ke arah pembangunan produk mesra alam berasaskan komuniti.
Pihak UCTC UPM percaya bahawa inisiatif ini akan terus memberi impak positif kepada masyarakat Pulau Pangkor. Antaranya ialah:
Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengurus sisa secara lestari.
Mengurangkan pencemaran dengan mengitar semula sisa organik dan minyak terpakai.
Memperkukuh ekonomi komuniti melalui penghasilan baja kompos dan produk kitar semula bernilai tambah.
UCTC UPM optimis bahawa kerjasama erat bersama komuniti setempat akan menjadikan projek ini contoh amalan terbaik dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu dan teknologi.
Dengan gabungan teknologi hijau, inovasi kreatif, dan sokongan komuniti, Pulau Pangkor kini melangkah lebih jauh ke arah menjadi sebuah komuniti yang lestari, berdaya maju, dan mesra alam.
University Community Transformation Centre (UCTC UPM), Industry and Community Relations Building, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
uctc_all@upm.edu.my
EMERGENCY LINE (24 HOURS) AUXILIARY POLICE & SECURITY CENTER