
Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dipilih oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk melaksanakan Projek Kampung Angkat Madani UPM – Kampung Sawah Sempadan, Kuala Selangor di bawah peruntukan B.11-Perkhidmatan Am Perbendaharaan. Pendekatan Whole of Government seumpamanya diaspirasikan bagi tujuan melengkapkan kemudahan asas di desa yang turut melibatkan penglibatan bersama institusi TVET tempatan sebagai inisiatif memanfaatkan rakyat setempat dan meningkatkan kualiti penyampaian Kerajaan.
UPM telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti dan memastikan program yang dilaksanakan memberi impak positif kepada komuniti dan memberikan imej yang baik untuk UPM melalui pelaksanaan program seperti berikut:
- Pembangunan infrastruktur di tepian Sungai Tengi (jeti, kemudahan berkayak dan memancing, perangkap sampah, laluan pejalan kaki, lampu jalan solar dan gerai jualan produk pertanian)
- Program gotong-royong membersih Sungai Tengi bagi melancarkan penyaluran air ke Kawasan pertanian dan sawah padi serta merancakkan aktiviti perikanan Sungai.
- Antara lain, UPM komited terhadap pembangunan luar bandar adalah melalui pelaksanaan Karnival Putra@Sawah Sempadan Tanjong Karang, yang merupakan sebuah inisiatif berskala besar berteraskan pemindahan ilmu, khidmat komuniti dan teknologi pertanian moden. Program dua hari ini, yang dijadualkan berlangsung pada 13–14 Disember 2025 di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, merupakan salah satu program utama di bawah Kampung Angkat Madani UPM.
Majlis perasmian program akan disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, sekaligus menunjukkan sokongan padu kementerian terhadap usaha UPM memperkasa sektor pertanian dan komuniti tumpuan.
Tarikh, tempat dan Lokasi:
Tarikh: 13 & 14 Disember 2025 (Sabtu dan Ahad)
Masa: 8.30 pagi – 4.30 petang
Lokasi: Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Tanjong Karang
Selaras dengan peranan UPM sebagai universiti peneraju dalam bidang pertanian, program ini menggerakkan kepakaran dari pelbagai pusat tanggungjawab universiti ke lapangan komuniti secara langsung. Pendekatan “field-based outreach”membolehkan peserta—termasuk petani, penternak, usahawan agro dan komuniti setempat—mendapatkan tunjuk ajar terus daripada pakar universiti serta agensi teknikal lain.
Antara bidang yang diberi fokus termasuk:
•Teknologi pertanian moden
•Agro-makanan dan keselamatan makanan
•Kesihatan komuniti
•Agro-pelancongan
•Pembangunan komuniti dan peningkatan pendapatan
UPM bersama agensi setempat akan melaksanakan aktiviti pameran, konsultasi teknikal, bengkel praktikal dan perkongsian ilmu berasaskan keperluan sebenar komuniti di Sawah Sempadan.
Program ini dilaksanakan melalui jaringan kerjasama melibatkan pelbagai agensi seperti:
•Pejabat Daerah & Tanah Kuala Selangor
•Balai Penghulu Mukim Tanjong Karang 2
•Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang
•Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong
•Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang
•Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
•Pejabat Pertanian Daerah Kuala Selangor
•Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang
•Agro Pelancongan Sawah Sempadan
Kolaborasi penta-helix ini memastikan program bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek, malah menyokong kelestarian pembangunan sektor pertanian dan sosial komuniti secara holistik.
Program ini disasarkan untuk menarik penglibatan lebih 1,000 orang peserta, merangkumi pelbagai kumpulan komuniti pertanian dan pembangunan setempat. Antara impak utama yang dijangka:
•Peningkatan produktiviti pertanian melalui pendedahan kepada teknologi dan amalan moden
•Pengukuhan pengetahuan hasil sesi pemindahan ilmu yang menekankan penyelesaian masalah sebenar di lapangan
•Peningkatan kesedaran keselamatan makanan, seiring agenda nasional
•Pembinaan komuniti mandiri yang mampu mengadaptasi saranan dan inovasi baharu
•Penguatan jaringan kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri
Keseluruhannya, program ini menjadi platform signifikan dalam usaha UPM menyumbang kepada agenda negara ke arah memperkukuh keselamatan makanan dan memakmurkan komuniti luar bandar.
Agenda program:
Pengisian Hari Pertama (13 Disember 2025)
Program dimulakan seawal 7.30 pagi dengan aktiviti Langkah Sihat@Sawah, sebuah acara riadah komuniti sebelum pelbagai pertandingan dan program utama bermula. Antara aktiviti menarik pada hari pertama termasuk:
1. Pertandingan yang Menggalakkan Kreativiti & Penyertaan Komuniti
•Pertandingan Inovasi Kreativiti (INOKREATIF) – Cabaran menghasilkan bunga plastik & kiub pelbagai guna.
•Pertandingan Karom melibatkan 64 kumpulan.
•Pertandingan Memancing di Tali Air dengan jangkaan 700 penyertaan.
•Pertandingan Mewarna Kanak-kanak melibatkan 50 peserta berumur 4–6 tahun.
2. Pameran & Sesi Interaktif UPM
Sepanjang 8.30 pagi hingga 4.30 petang, pelbagai PTJ UPM membuka pameran ilmiah dan interaktif termasuk:
•Fakulti Pertanian
•Fakulti Kejuruteraan
•Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFOS)
•Institut Biosains
•Pusat Pertanian Putra
•Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP)
•Fakulti Pengajian Pendidikan
•Pusat Perhubungan Alumni
•Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN)
•Bas Pengembangan & eDU-PARK UCTC
3.Majlis Perasmian & Pemindahan Ilmu
Majlis perasmian berlangsung pada jam 9.00 pagi di Pentas Utama, diikuti sesi Pemindahan Ilmu Kesihatan bertajuk Pencegahan Denggi & Bahaya Merokok oleh pakar daripada Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS).
4.Pengisian Petang: Cabutan Bertuah, Sukan Rakyat & Demonstrasi Teknikal
•Cabutan bertuah
•Kuiz Agro Interaktif
•Sukan Rakyat termasuk bola sepak berkain pelikat, penalti, bola jaring penalti, timbang bola takraw & Badang Sawah
•Demonstrasi Pembuatan Kokedama oleh Fakulti Pengajian Pendidikan
•Demonstrasi Pembuatan Silaj oleh ITAFOS
Pengisian Hari Kedua (14 Disember 2025)
1. Pertandingan & Aktiviti Komuniti
•Pertandingan Gusti Lengan ‘Kampung Style’ Tanjong Karang 2025
•Pertandingan Makanan Warisan bertema Masakan Jawa & pencuci mulut berasaskan ubi kayu
•Cabutan bertuah dan Kuiz Agro Interaktif
2. Pameran UPM & Agensi
• Demonstrasi
•DIY Pembuatan Jem Nanas oleh pelajar Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM
•Demonstrasi Masakan Tempatan oleh Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang
3. Majlis Penutup
•Penyampaian hadiah pertandingan
•Penyampaian sijil agensi
• Cabutan bertuah akhir
• Disempurnakan oleh YB Parlimen Tanjong Karang, YB Kapten Dato' Dr. Zulkafperi bin Hanapi.
Seiring dengan mandat universiti awam, UPM terus memainkan peranan penting dalam pemindahan ilmu, teknologi dan inovasi bagi manfaat rakyat. Program Karnival Putra@Sawah Sempadan membuktikan keupayaan universiti bukan sahaja dalam penyelidikan, malah dalam memperkasa komuniti secara inklusif dan berkesan.
Melalui inisiatif Kampung Angkat Madani UPM, program ini diyakini akan membuka lebih banyak peluang pembangunan komuniti serta memberi impak jangka panjang kepada masyarakat Sawah Sempadan khususnya, dan sektor pertanian negara amnya.
Date of Input: 04/12/2025 | Updated: 04/12/2025 | khairulazman

University Community Transformation Centre (UCTC UPM), Industry and Community Relations Building, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang Selangor Darul Ehsan