PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI MADANI PULAU PANGKOR PERKASA AMALAN KELESTARIAN MELALUI PROJEK BAJA KOMPOS | University Community Transformation Centre (UCTC)
» NEWS » PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI MADANI PULAU PANGKOR PERKASA AMALAN KELESTARIAN MELALUI PROJEK BAJA KOMPOS

PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI MADANI PULAU PANGKOR PERKASA AMALAN KELESTARIAN MELALUI PROJEK BAJA KOMPOS

Pulau Pangkor, 8 Februari 2026 – Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi telah berjaya dilaksanakan pada 8 Februari 2026 dengan penglibatan aktif Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pelaksanaan projek baja kompos bersama komuniti setempat.

 

Pelaksanaan program ini bertujuan mendidik komuniti dengan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa organik secara berkesan dan lestari, selari dengan aspirasi pembangunan komuniti MADANI serta agenda kelestarian alam sekitar negara.

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, UPM telah menyumbangkan sebanyak 10 buah drum kompos berputar (rotating composting drum) kepada komuniti Pulau Pangkor. Setiap drum berkapasiti 160 liter dan berupaya menghasilkan kira-kira 15 hingga 30 kilogram baja kompos dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Penghasilan baja kompos ini bukan sahaja membantu komuniti mengurangkan kos input pertanian melalui penggunaan baja sendiri, malah membuka peluang penjanaan pendapatan tambahan dengan anggaran jualan sekitar RM4 sekilogram.

Untuk makluman, UPM telah mula mendidik dan membimbing komuniti Pulau Pangkor dalam penghasilan baja kompos sejak Julai 2025. Projek ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni, Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti UPM (UCTC UPM). Hasil pemindahan ilmu serta bimbingan berterusan yang dilaksanakan, komuniti setempat telah mula merasai manfaat secara langsung, khususnya dari segi penjimatan kos pembelian baja dan peningkatan pendapatan komuniti. Malah, komuniti turut memaklumkan bahawa permintaan terhadap baja kompos adalah tinggi sehingga terdapat tempahan awal dibuat sementara menunggu kompos mencapai tahap matang.

Program ini turut diserikan dengan lawatan tapak projek baja kompos di Kampung Teluk Gedung, yang telah dirasmikan oleh Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi. Lawatan tersebut turut dihadiri oleh pengurusan tertinggi UPM, iaitu Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM.

Diharapkan pelaksanaan Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor ini dapat memberi impak jangka panjang dalam memperkasa komuniti setempat melalui amalan pengurusan sisa yang mampan, peningkatan ekonomi komuniti serta pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.

#berilmuberbakti
#KomunitiMadani
#PulauPangkor
#UPM
#JPT

Date of Input: 12/02/2026 | Updated: 12/02/2026 | khairulazman

MEDIA SHARING

University Community Transformation Centre (UCTC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
W, (05:09:27am-05:14:27am, 11 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]