Kaji Pelbagai Faktor Sebelum Perkenal Beras MADANI | PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
» ARTIKEL » Kaji pelbagai faktor sebelum perkenal Beras MADANI

Kaji pelbagai faktor sebelum perkenal Beras MADANI

Kaji pelbagai faktor sebelum perkenal Beras MADANI

Kuala Lumpur: Pelbagai faktor perlu dikaji agensi kerajaan sebelum memperkenalkan Beras Putih Malaysia MADANI berikutan penetapan harga mungkin memberi bebanan kepada pihak tertentu.

Mengambil kira pelaksanaannya yang mempunyai banyak kelebihan dan kekurangan, maka kajian terperinci dan perbincangan dengan semua pihak perlu diadakan secara berterusan.

Pensyarah Jabatan Perniagaan Tani dan Ekonomi Biosumber di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Norsida Man, berkata pelaksanaan program itu bukan hanya mengambil kira isu rakyat, tetapi juga harus membawa manfaat kepada pesawah dan pengilang.

“Harga beras itu juga haruslah pada tahap mampu milik dan berkualiti untuk dibeli semua lapisan pengguna,” katanya.

Norsida berkata, kerajaan membuat ketetapan memperkenal harga baharu beras putih selepas mengambil kira faktor ketiadaan kenaikan harga bahan makanan itu sejak 18 tahun lalu.

“Pengguna biasanya tidak memahami senario sebab kerajaan mahu laksanakan Beras Putih Malaysia MADANI. Perspektif negatif akan mendorong mereka untuk menyalahkan beberapa pihak tanpa mengetahui isu dan alasan sebenar yang mendorong kepada berlakunya perkara ini.

Norsida berkata, bukan sahaja pengguna risau dengan kualiti beras berkenaan, tetapi beberapa faktor turut membelenggu pengilang dan pesawah dalam usaha membantu kerajaan melaksanakan program seumpama itu.

“Bagi pihak pengilang, mereka perlu menjual beras yang mempunyai harga yang mampu mengatasi kos pengeluaran. Jika kerajaan meminta satu harga yang tidak berbaloi dengan kos mereka, pengilang sudah tentu tidak dapat menuruti permintaan berkenaan.

“Mekanisme pemasaran beras selepas tuai banyak diungguli pengilang. Untuk petani, mereka hanya mempunyai kawalan sebelum padi dituai, jadi harga tidak dapat dikawal petani kerana pengilang lebih mempunyai kawalan dari segi pemprosesan dan bekalan.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, petani lebih terjejas kerana mereka bukan sahaja sebagai pengeluar tetapi juga pengguna yang membeli beras yang mereka keluarkan sendiri.

Sukar kawal harga beras

Dalam pada itu, Norsida berkata, harga beras di negara ini sukar untuk dikawal atau distabilkan kerana lebih 70 peratus kos pengeluaran padi banyak digunakan untuk membeli barang serta kos upah pekerja.

Norsida turut memberikan tiga syor untuk kerajaan pertimbangkan bagi menyelesaikan isu beras putih tempatan (BPT) yang bekalannya berkurangan di pasaran.

“Untuk jangka pendek, kerajaan boleh guna stok penimbal beras lebih 290,000 tan metrik untuk menstabilkan harga beras.

“Kerajaan perlu memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) tanggungjawab sosial yang ditetapkan dipatuhi ketat iaitu memelihara, menyelenggara dan mengurus stok penimbal beras negara dengan mematuhi semua garis panduan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua gudang stok penimbal beras di seluruh negara,” katanya,

Bagi jangka masa sederhana, Norsida berkata, pihak kementerian dan agensi pertanian perlu menekankan penggunaan teknologi dan tambah baik amalan pertanian, termasuk menambah daya usaha dan motivasi petani serta pegawai pertanian melalui perubahan pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pertanian padi negara.

Untuk menyelesaikan masalah pemasaran beras, katanya, pemantauan kawal selia pasaran beras perlu dilaksanakan supaya penjual mematuhi peraturan dan tiada salah guna dalam pasaran dan penjualan beras bagi tujuan memanipulasikan harga.

“Penyelesaian jangka masa panjang pula, kerajaan perlu tegas dengan tahap penukaran tanah pertanian padi kepada pembangunan. Ini akan mengecilkan kawasan pertanian padi,” katanya.

 

Tarikh Input: 29/02/2024 | Kemaskini: 29/02/2024 | khairulazman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXEbPAJ~