SERDANG, 11 Mei 2017 - Subjek sains merupakan salah satu subjek wajib bagi setiap sekolah di Malaysia, namun masih kurang dikuasai oleh pelajar berikutan subjek ini terlalu sukar difahami. Bagi menarik minat pelajar mendalami subjek sains, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM bersama panitia Sains Sekolah Kebangsaan Seri Serdang (SKSS) telah melaksanakan ‘Bengkel Jom Awet’ yang mana pengawetan makanan merupakan salah satu tajuk dalam subjek Sains tahun 6.
Bengkel yang dilaksanakan secara teori dan amali ini bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan pelajar dan mengembangkan minat berkenaan teknik pengawetan makanan yang digunakan dalam mengekalkan kualiti makanan daripada cepat rosak dan tercemar. Selain itu, ianya mengukuhkan kefahaman pelajar tentang fakta dan konsep sains yang dipelajari, memudah cara serta mengaplikasikan pengetahuan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
Bengkel pengawetan makanan ini yang disertai 164 orang murid tahun 6 telah didedahkan teknik pengawetan menerusi pembungkusan vakum, pempasteuran jus buah/sayur dan pembotolan jus buah/ sayur. Kumpulan pelajar tersebut akan bergilir ke setiap stesen yang telah diadakan dengan menjalani amali pada setiap stesen. Setiap pelajar berpeluang untuk merasai pengalaman sendiri menjalani setiap kaedah pengawetan makanan tersebut.
Dengan adanya bengkel ini, pelajar yang menyertai telah mampu menguasai kemahiran saintifik, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif di samping menyemai nilai murni seterusnya dapat mengaplikasi segala pengetahuan yang dipelajari untuk kesejahteraan hidup mereka dan masyarakat setempat di masa akan datang.
Disediakan oleh
NOOR AZWANI RAMLI
Penolong Pegawai Sains
UCTC UPM
Tarikh Input: 18/12/2017 | Kemaskini: 18/12/2017 | zaidi_tajuddin
Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC UPM), Bangunan Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang Selangor Darul Ehsan