Racun Perosak Haram Tanaman Padi Ancam Kesihatan Pengguna | PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
» ARTIKEL » Racun perosak haram tanaman padi ancam kesihatan pengguna

Racun perosak haram tanaman padi ancam kesihatan pengguna

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**
**Artikel ini telah diterbitkan di UTUSAN MALAYSIA pada 25 SEPTEMBER 2019.

Oleh Professor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Satu kajian lapangan ke atas perosak tanaman padi di utara Semenanjung mendapati racun perosak yang telah diharamkan masih digunakan oleh pihak tertentu.

Penemuan botol botol racun perosak berkenaan di bendang adalah petanda jelas masih ada yang menggunakan racun yang telah diharamkan. Racun perosak yang dimaksudkan adalah Endosulfan yang telah diharamkan dalam protokol Stokholm pada tahun 2012.

Endosulfan tidak hos terkhusus dan membawa kesan spektrum meluas, ia mendedahkan manusia khususnya pengguna kepada beberapa risiko kesihatan.

Endosulfan didakwa membunuh semua jenis perosak. Selain serangga ia juga menghapuskan siput gondang, nematod dan tikus. Endosulfan turut menjejaskan serangga berguna dan haiwan yang terdapat dalam habitat sawah padi termasuk ikan, belut dan pemangsa semulajadi seperti ular dan musang.

Ini bermakna Endosulfan akan menjejaskan ekosistem secara keseluruhan. Sudah tentu ini akan menyebabkankan gangguan kepada rantaian makanan dan menyebabkan ketidak seimbangan hubungan mangsa-pemangsa. Natijah dari senario ini ialah peningkatan populasi perosak dan menjejaskan hasil tanaman.

Ada masalah yang lebih besar dengan penggunaan Endosulfan iaitu risiko kesihatan ke atas pengguna. Endosulfan adalah sebatian yang boleh menjejaskan sistem endokrin iaitu pengeluaran hormone yang mengawal factor kesuburan, pembiakan dan perkembangan.

Endosulfan telah buktikan melambatkan proses kematangan seksual pada lelaki dan menjejaskan kadar kesuburan. Di samping itu ia juga menjejaskan perkembangan janin dan menyebabkan kecacatan fizikal.

Endosulfan juga adalah sebatian neurotoksin yang menjejaskan saraf. Di antara kesannya ialah kekejangan, kesukaran untuk bernafas, kegagalan untuk mengawal pergerakan, muntah dan cirit dan boleh boleh menyebabkan hilang kesedaran

Endosulfan dikategorikan sebagai POP (Perrmanent Organic Pollutant) atau Bahan pencemaran organic kekal. Ia sangat stabil bahkan bahan terurai dari sebatian Endosulfan menghasilkan sebatian terbitan yang mempunyai kesan yang sama.

Oleh kerana kestabilannya, Endosulfan juga terdedah kepada proses pengangkutan jarak jauh. Debu endosulfan yang diaplikasikan di Sub-Sahara Afrika di kesan di Laut Carribean setelah melintas lautan Atlantik. Sisa Endosulfan dalam bentuk terampai dan terapung dikesan sehingga Kawasan kutub utara dan kutub selatan.

Botol racun endosulfan yang ditemui di lapangan mempunyai perekat (label) yang menunjukkan ia dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Selangor dengan no. pendaftarannya sekali. Ini adalah sangat meragukan kerana Lembaga Racun Perosak sudah tentu tidak akan meluluskan pengilangan dan pemasaran racun Endosulfan. Samada kilang tersebut benar-benar wujud atau pun pihak berkenaan telah memalsukan perekat yang ditampal pada botol racun tersebut.

Pihak berwajib sebelum ini telah melaporkan aktiviti membawa masuk racun yang telah diharamkan dari luar negara melalui pelbagai kaedah penyeludupan yang licik. Tidak mustahil juga racun Endosulfan tersebut dibawa masuk dari negara luar dan menggunakan perekat palsu untuk mengabui pihak berkuasa.

Para pengguna khususnya petani dan penanam padi dinasihati supaya mengelak menggunakan racun eldosulfan kerana ia sangat berisiko tinggi ke atas kesihatan dan nyawa manusia. Adalah diharapkan aspek keselamatan diberikan perhatian khusus dalam mengatasi masalah perosak tanaman kerana aspek kesihatan pengguna dan keselamatan alam sekitar tidak seharusnya dikompromi.

Pengguna dinasihatkan untuk merujuk kepada agensi Kerajaan seperti Jabatan Pertanian. Pertubuhan Peladang setempat dan badan-badan berkanun seperti MADA untuk mendapatkan khidmat nasihat dan panduan yang betul dalam memilih racun perosak yang disyorkan dan penggunaan racun perosak secara berhemah.

Fakulti Pertanian khususnya Jabatan Perlindungan Tumbuhan mengadakan banyak kajian tentang racun perosak dan kesannya terhadap alam sekitar dan haiwan bukan sasaran. Di samping itu, beberapa racun perosak yang mesra alam iaitu biopestisida juga telah berjaya dihasilkan oleh beberapa orang penyelidik tanpa kesan mudarat kepada pengguna, haiwan bukan sasaran dan alam sekitar secara keseluruhan. 

Professor Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Makmal Kawalan perosak vertebrat
Jab.Perlindungan Tumbuhan
Fakulti Pertanian

Tarikh Input: 22/10/2019 | Kemaskini: 29/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXDcTAq~