MENDEPANI WABAK PENYAKIT HAWAR BULIR BAKTERIA (BPB) PADI: DI MANA HALATUJU KITA? | PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
» ARTIKEL » MENDEPANI WABAK PENYAKIT HAWAR BULIR BAKTERIA (BPB) PADI: DI MANA HALATUJU KITA?

MENDEPANI WABAK PENYAKIT HAWAR BULIR BAKTERIA (BPB) PADI: DI MANA HALATUJU KITA?

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad

Penyakit hawar bulir bakteria (BPB) merupakan ancaman baru kepada industri padi global, ianya sangat mudah merebak, berbahaya dan berupaya menyebabkan kehilangan hasil padi sehingga 80% serta menyebabkan kejatuhan kualiti beras. 

Penyakit ini disebabkan oleh bakteria, Burkholderia glumae. Sehingga kini, lebih daripada 20 negara di dunia telah dilaporkan diserang oleh wabak ini, terutamanya di negara-negara yang beriklim tropika dan sub-tropika.

Hasil dapatan penyelidikan, para saintis telah bersetuju untuk meletakkan BPB sebagai penyakit bakteria yang berisiko tinggi pada tanaman padi. Selanjutnya, hasil analisis risiko perosak (PRA) yang dilaksanakan oleh penyelidik Negara China ke atas B. glumae membuktikan bahawa ianya sangat berisiko tinggi dan telah disenaraikan sebagai perosak kuarantin.

Burkholderia glumae adalah sejenis bakteria gram negatif, berbentuk rod dan berflagella. Ianya membiak secara optimum pada suhu di antara 30-40oC.

Bakteria ini adalah bawaan biji benih, oleh itu ianya akan menjangkiti biji benih melalui stomata dan luka (akibat serangan serangga atau kulat) seterusnya akan menjangkiti bahagian plumul dan terus merebak dan membiak di sel parenkima semasa proses percambahan biji benih. 

Bakteria ini seterusnya akan menghasil sejenis toksin yang merbahaya  dinamakan toxoflavin dan fervenulin bagi tujuan membantu proses penjangkitan sehingga terbentuknya simptom klorosis dan reput.

Toksin toxoflavin dihasikan secara maksimum pada suhu 37oC. Hai ini akan menyebabkan penyakit BPB menjadi sangat serius dan berbahaya khususnya di kawasan tropika dan sub-tropika seperti Negara kita.

Di Malaysia, BPB pertama kali dilaporkan di Sungai Acheh, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang pada November 2017. Seterusnya, penyakit ini terus merebak tanpa disedari oleh sesiapa pun hingga ke seluruh jelapang padi negara seperti Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Melaka, Perlis dan Pahang dalam tempoh masa setahun sahaja.

Tindakan awal telah diambil oleh Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia untuk mengesan, mengenalpasti patogen dan mengawal penyebaran wabak ini.  Inisiatif yang bersungguh ini telah memberi kesedaran kepada semua pesawah dan pegawai mengenai bahaya dan risiko wabak ini.

Sebagai langkah awal pencegahan, B. glumae telah di masukkan ke dalam senarai Invasive alien species (IAS) pada tahun 2018, langkah awal ini diharapkan dapat mengawal dan mengurangkan risiko kehilangan hasil padi negara.

Status penyelidikan semasa terhadap wabak BPB di negara kita amatlah terhad.  Buat masa ini tiada kajian terperinci dijalankan ke atas penyakit BPB telah dilaporkan di Negara kita.  Walaubagaimanapun, kajian awalan telah pun dibuat oleh Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia dan dilaporkan setakat ini. Di mana silapnya polisi dan fokus agensi penyelidikan, universiti awam dan agensi pendanaan penyelidikan Negara?

Mengapa mereka terlalu lambat dan kurang proaktif untuk mengatasi dan mengurus wabak ini secara bijaksana? Maka tidak hairanlah di dada-dada akhbar telah terpapar pelbagai kisah dan cerita duka-lara para pesawah di negara kita akibat serangan wabak ini. 

Oleh yang demikian, bagi merangka strategi kawalan berkesan negara memerlukan maklumat asas yang menyeluruh dan segera seperti biologi patogen (contohnya kepelbagaian dan variasi patogen), kaedah pengesanan pantas dan tepat, kaedah rawatan dan kawalan wabak, dan seterusnya menghasilkan varieti padi yang rintang BPB.

Bagi merangka strategi mengurus wabak BPB secara berkesan dan lestari, ianya bermula dengan libat-sama usaha di antara agensi yang berberkaitan seperti Jabatan Pertanian, MAQIS, MARDI dan universiti awam.

Pertamanya dengan penubuhan Jawatankuasa Bertindak Peringkat Kebangsaan yang diterajui oleh pakar kaji penyakit yang dilantik oleh kerajaan. Jawatankuasa ini boleh berfungsi sebagai peneraju dan berkuasa dalam menyelaras dan merangka strategi  serta aktiviti secara teratur dan sistematik (termasuklah merancang bentuk aktiviti penyelidikan dan penguatkuasaan akta).

Hasil dapatan boleh dibentang dan dibincangkan secara bersama seterusnya berupaya memberi cadangan yang bernas kepada kerajaan.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan membuat semakan semula dan tambahbaik terhadap prosedur operasi piawai (SOP) sedia ada di sepanjang rantaian yang bermula daripada penghasil benih padi sah sehinggalah hasil diproses di kilang.

Sebelum ini ada banyak bukti-bukti yang disiarkan di dada-dada akhbar yang menunjukkan bahawa wabak BPB sebahagiannya adalah berpunca daripada benih padi khususnya penggunaan benih padi tidak sah.  

Bagi mendapatkan impak besar pengurusan wabak BPB, langkah menambahbaik SOP dan kawalan kualiti adalah sangat penting dalam menjayakan pengurusan penyakit secara berkesan.

Bagi mendepani cabaran wabak BPB, kita perlu akur bahawa BPB adalah wabak penyakit padi yang serius dan merebak secara meluas dan pantas  ke seluruh kawasan jalapang di negara kita serta sangat berisiko tinggi untuk menjejaskan keselamatan makanan negara pada masa hadapan.

Kehilangan hasil yang tinggi juga berpunca daripada tiadanya strategi pengurusan dan kawalan yang berkesan terhadap BPB. Tambahan pula, kesan langsung daripada masalah perubahan iklim dunia yang melanda negara sejak 10 tahun yang lalu telah menyebabkan berlakunya evolusi genetik dan patogenik sehingga membentuk satu stain patogen baharu yang sangat virulan kepada varieti padi sedia ada. 

Oleh yang demikian, negara perlu memantapkan polisi pertanian dan segera kembalikan fokus membangunkan industri pertanian. Negara juga sangat memerlukan hasil penyelikan yang berkuaiti, meluas dan mendalam khususnya dalam mengurus wabak BPB ketika ini.

Pelaburan dalam penyelidikan serta penglibatan bersama antara agensi kerajaan perlulah dilakukan dalam kadar yang segera bagi memelihara keselamatan makanan negara pada masa hadapan.

Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad

Jabatan Perlindungan Tumbuhan

Fakulti Pertanian

Tarikh Input: 23/10/2019 | Kemaskini: 23/10/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXDcTA7~