UPM Akan Terus Memperkasakan Program Pendidikan Dan Pertanian Putra | PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
» BERITA » UPM akan terus memperkasakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra

UPM akan terus memperkasakan Program Pendidikan dan Pertanian Putra

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto oleh: Sabri Omar 

PONTIAN, 26 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus melaksanakan dan memperkasakan lagi Program Pendidikan dan Pertanian agar perkongsian kepakaran yang ada di UPM dapat diberikan kepada semua masyarakat.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato' Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata program yang telah dilakukan di Kampung Sungai Bunyi, Pontian, Johor selama tiga hari bermula 24 Mac sehingga 26 Mac 2022 itu tidak akan terhenti di situ sahaja.

“Kita akan laksanakan ia secara berterusan dan bergerak ke seluruh negara. Kita mahu berkongsi dengan masyarakat daripada menara ilmu kepada masyarakat setempat tentang ilmu kepakaran yang kita ada. Itulah tujuan kita, berkongsi ilmu.”

“Hari ini kita kongsi kepakaran pertanian dan kita juga ada kepakaran yang lain. Kita perlu tingkatkan lagi kesedaran pertanian ini sejak di peringkat rendah lagi kerana orang selalu ingat pertanian ini untuk orang-orang yang kurang mampu tapi sebenarnya pertanian adalah kekayaan,” katanya.

Jelasnya lagi, selain berkongsi kepakaran pertanian, UPM juga mempunyai kumpulan-kumpulan yang bergerak ke sekolah-sekolah untuk memberitahu murid-murid berkenaan program yang ditawarkan di UPM bagi mereka menyambung pelajaran setelah tamat persekolahan nanti.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng yang merasmikan pentutupan program tersebut berkata program ini menjadi medan perkongsian ilmu yang diterjemahkan di lapangan bersama masyarakat tani.

“Inisiatif yang diambil oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan 6, Kampung Sungai Bunyi bersama pihak Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM menganjurkan program ini amat dihargai kerana ianya melaksanakan pemindahan ilmu diantara pihak UPM dengan masyarakat setempat.

“Saya berharap matlamat untuk mempertingkat sosioekonomi penduduk setempat akan dapat dicapai terutama melibatkan aspek kemahiran pertanian, pembelajaran berterusan serta penjanaan pemikiran yang kreatif dan inovatif,” jelasnya.

Dalam pada itu, sepanjang program itu berlangsung terdapat banyak perkongsian ilmu daripada pakar UPM yang turun ke lapangan berjumpa dengan masyarakat bagi berkongsi kepakaran masing-masing dan memberi cadangan menyelesaikan masalah pertanian para petani.

Tarikh Input: 04/04/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXETMAF~