Zon Pelepasan Rendah, Suatu Inisiatif Menangani Pencemaran Udara | PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
» ARTIKEL » Zon Pelepasan Rendah, Suatu Inisiatif Menangani Pencemaran Udara

Zon Pelepasan Rendah, Suatu Inisiatif Menangani Pencemaran Udara

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 
**Artikel ini telah diterbitkan di BERITA HARIAN pada 25 JUN 2019.

Oleh Dr. Nor Eliani Ezani

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara merupakan salah satu risiko kesihatan yang paling penting pada masa kini dan menyebabkan 1 dalam 9 kematian di dunia. Selari dengan permasalahan ini, pencemaran udara telah dipilih sebagai tema utama sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang akan dihoskan oleh negara China pada 5 Jun minggu hadapan.

Secara umumnya, majoriti daripada pelepasan bahan pencemar udara adalah daripada sektor pengangkutan selain daripada pelepasan industri dan pembakaran terbuka. Dianggarkan sebanyak 88% daripada masyarakat Malaysia menggunakan kenderaan persendirian dan dilaporkan bahawa pelepasan gas karbon dioksida di Lembah Klang adalah sebanyak 337,800 tan setahun.

Pelepasan karbon daripada kenderaan bermotor boleh menyebabkan pemanasan global dan mengakibatkan paras suhu bumi meningkat seterusnya menyebabkan perubahan iklim.

Pencemaran udara daripada kenderaan bermotor berpunca daripada pelepasan ekzos dan bukan ekzos. Pelepasan ekzos adalah hasil daripada pembakaran enjin fosil yang dilepaskan oleh kereta, lori, bas serta kenderaan berat yang lain serta bukan ekzos adalah seperti debu daripada brek dan tayar. Ini menghasilkan koktail bahan pencemar yang terdiri daripada zarah partikulat pelbagai saiz seperti zarah partikulat halus (2.5 mikron) dan kasar (10 mikron), karbon hitam, gas ozon dan nitrogen dioksida.

Dedahan kepada bahan pencemar udara trafik boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan terutamanya golongan berisiko termasuklah kanak-kanak, warga tua, mereka yang mengalami penyakit asma, bronkitis dan radang paru-paru serta individu yang bekerja diluar kawasan bangunan seperti polis trafik, penjaja makanan dan pekerja pembinaan.

Selain daripada itu, pelepasan gas-gas toksik pencemar oleh kenderaan seperti nitrogen dioksida, ozon dan karbon dioksida juga tidak terkecuali berlegar di ruang udara. The Telegraph London bahawa 4 daripada 10 orang pelajar terdedah kepada udara bertoksik hasil pelepasan enjin kenderaan yang tidak dimatikan dan melebihi piawai yang telah di tetapkan oleh WHO.  Sistem fisiologi pernafasan dan ketinggian kanak-kanak dikaitkan dengan pendedahan kepada ekzos asap berbanding dengan seorang dewasa.

Kempen Zon Pelepasan Rendah

Zon pelepasan rendah atau dikenali sebagai Low Emission Zone (LEZ) merupakan satu kawasan khas yang diperkenalkan bagi mengehadkan atau menyekat akses sesetengah kenderaan yang boleh mencemarkan alam sekitar seperti jenis kenderaan berat, umur kenderaan dan jenis enjin diesel yang digunakan (mengikut kriteria pelepasan mengikut piawaian Eropah iaitu Euro 1 hingga Euro 4).

Walaubagaimanapun, pengecualian khas diberikan kepada kereta berkuasa elektrik. Pengenalan zon khas ini bukanlah sesuatu yang baharu di negara-negara Eropah malahan di negara kejiranan Asia seperti Hong Kong turut memperkenalkan zon ini bagi melarang kemasukan bas di tengah-tengah bandar sejak hujung tahun 2015.

Malahan, Datuk Bandar London, Saddiq Khan merupakan watak penting dalam memerangi pencemaran udara kota tersebut dengan memperkenalkan zon pelepasan ultra rendah (ULEZ) selepas kejayaan kota tersebut menjadi zon pelepasan rendah (LEZ) yang terbesar sedunia yang mana diperkenalkan secara berperingkat sejak tahun 2008. Sesiapa yang memandu kenderaan yang tidak mematuhi piawaian (kenderaan berat yang berusia termasuklah lori, bus dan van) di zon ini akan dikenakan denda berbentuk caj pembayaran.

Langkah Awal Zon Pelepasan Rendah

Mungkin sukar dibandingkan dengan inisiatif yang dilakukan oleh negara-negara maju Eropah seperti di Berlin dan London, namun kita boleh memulakannya dengan mengambil contoh strategi yang diperkenalkan oleh negara Hong Kong. Kita juga boleh memperkenalkan zon istimewa ini di perimeter kawasan yang lebih kecil dan setempat seperti di kawasan sekolah, universiti atau hospital dengan mengehadkan kepada kemasukan kenderaan berat yang berusia.

Selain daripada itu, zon ini juga perlu memastikan pengendali kenderaan untuk mematikan enjin kereta sementara menunggu penumpang terutamanya di kawasan sekolah. Zon ini juga boleh diperkenalkan di kawasan yang berdekatan dengan taman rekreasi yang terletak berhampiran dengan jalan utama.

Risiko pendedahan kesihatan dapat dikurangkan terutamanya kepada mereka yang melakukan aktiviti sukan dan riadah, pejalan kaki dan pengayuh basikal. Laporan berita daripada BBC telah mendapati bahawa terdapat pengurangan ketara dalam paras zarah partikulat selepas zon khas ini diperkenalkan di Jerman.

Dengan pengenalan zon pelepasan rendah sebagai alternatif, pelepasan bahan pencemar daripada asap kenderaan ke udara dan kesan kesihatan dapat dikurangkan.

Pendidikan secara tidak lansung melalui pengenalan zon yang berkait rapat dengan isu pencemaran udara dapat diterapkan kepada masyarakat dan generasi akan datang. Seterusnya dapat memacu kelestarian alam sekitar dan pembangunan moden lestari kepada negara.

Ianya sekaligus dapat menyokong matlamat pembangunan lestari (SDG) yang telah menjadi agenda global pada masa kini. Kita telah memperkenalkan zon larangan merokok dan inilah masanya untuk memperkenalkan zon pelepasan rendah, bila lagi kalau bukan sekarang?

Dr. Nor Eliani Ezani
Pensyarah Kanan
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Tarikh Input: 23/10/2019 | Kemaskini: 29/11/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT TRANSFORMASI KOMUNITI UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXDdVAr~